Showing posts with label Aneka kueh. Show all posts
Showing posts with label Aneka kueh. Show all posts

Monday, January 19, 2009

Roti jala- jadi dah


Yahoo, jadi dah saya menjala... he he.
Ini dia di jala jala....itulah bak kata pepatah pepatih:- "pratice make perfect"
mafhumnya 'Latih tubi akhirnya mahir', cewah baru nak jadi dah perasan.

Pagi tadi , pagi2 buta lagi saya dah berniat nak men'jala' roti. Mak saya pun terkezuuut.. awat awai2 dah masuk dapoq?. Selain mencuci kain, menyapu dan perbagai2 kerja sambilan... kelam kabut buat kari ayam. Cari rempah kari daging tak jumpa, alah malas pula nak start kereta gi beli rempah kari.


Akhirnya ambil shj rempah biji sedikit, jintan manis dan jintan putih. Cuci dan goreng tanpa minyak sampai kering. Kisar. Tak cukup halus kisaran terpaksa guna lesung tumbuk. Tambah chili kering dan bawang merah + putih. Masak macam biasa, rasanya? Rasa kari lah... cuma tak berapa umph.. lain kali saya repair rempah ni sampai jadi rempah kari la-abwa yg ori.. ..




Kari ayam:






Bahan2nya:

1/4 ayam di potong kecil,
3 biji kentang di potong 4
2 sudu rempah biji (ketumbar)
1/2 sudu teh jintan manis
1/2 sudu teh jintan putih
1/2 sudu teh serbuk kunyit
sebiji bawang besar, dihiris nipis
2 ulas bawang putih
3 tangkai chili kering. digunting dan rendam dlm air panas.
5 tangkai cengkih, seinci kulit kayu manis, sekuntum bunga lawang
sesenduk minyak masak
300 ml santan

cara masak:1-Cuci ketumbar, jintan manis dan putih dan goreng tanpa minyak hingga kering dan garing. Kisar dengan pengisar kering hingga halus. Masukkan dalam lesung tumbuk, masukkan chili kering , 1/2 biji bawang besar dan bawang putih. Masukkan sedikit air dan tumbuk halus.

2-Panaskan minyak dan masukkan cengkih,1/2 biji bawang merah yg di hiris, bunga lawan dan kayu manis. Biarkan sebentar hingga naik bau. Masukkan rempah yg telah di tumbuk dan air secawan. Gaul2kan dan tutup periuk. Biarkan mereneh hingga naik minyak, kacau selalu supaya tak hangus.

3-Masukkan ayam dan kentang dan secawan air. Masak hingga kentang dan ayam empuk. Masukkan santan dan biarkan mendidih sebentar. Masukkan garam secukup rasa. Angkat dan hidang.

Sunday, January 18, 2009

Roti jala kirai tak jadi


Sebelum nak beri resipi, nak cerita dulu pengalaman pertama kali buat roti jala. Ehem, nak tergelak pun ada. Maklumlah sebenarnya acuan /pengirai roti jala ni dah lama berehat sejak d beli lebih 2 tahun dulu…haa lama tu, tahun 2006 kalau tak silap saya beli acuannya. Biasalah, kadang2 tengah semangat berkobar macam2 acuan di beli, lepas tu duk tang tu lah. Senangnya kalau nak makan roti jala beli kat gerai tepi jalan 3 butir RM1

Tapi cita2 nak buat sendiri dan nak belajar ‘menjala’/mengirai roti tu patutlah di puji (sendiri puji). Kebetulan kelmarin buat gulai ayam , guna ayam organic HPA dan rempah gulai orang terengganu. Rasa sedap sangat la gulai tu… itu yg terfikir nak buat roti jala. Kebetulan pula beberapa minggu sudah kawan bagi pinjam majalah RASA keluaran September 2008, ada resipi roti jala. Kita pun cuba…

Jeng, jeng , jeng apa dah jadi? Haa tu lah penangan orang biasa ketuk PC dan pegang pen. Bila nak pegang acuan roti jala, nak pusing/kirai adunan tak jadi. Jadi bertompok2 macam buat bedak sejuk. Kali kedua pula jadi macam kuih ketayap. Kali ke-3 separuh jadi tapi masih tebal tak macam kita beli. Hadoi macam ni tak jadi le nak business, dah 3 jenis kuali keluar.

Mula2 guna kuali leper, pastu guna sauce pan, pastu guna non-stick multi cooker. Bukan salah kuali daa, salah tangan tu tak gheti nak pusing….. Jiran saya datang,dia suruh tengok acuan kut2 tersumbat. Tak ada tersumbat pun, memang tak salah apa2, salah tuan yg masak tu tak pandai lagi…kalau pandai tak payak pakai acuan , pakai tangan pun jadi. Mak saya pun gelak tengok rupa roti jala kirai tak jadi, tapi habis juga.Sekali pandang dah macam crochet lapik meja pulak.

Ini lah resipinya di ambil dari majalah RASA September 2008 m/s 78

ROTI JALA

Bahan-bahan
150g tepung
250 ml air
200 ml santan
1 biji telur
½ sudu teh pewarna kuning
secubit garam.

Cara masak:
Gaulkan semua bahan di atas hingga rata.
Sediakan kuali leper dan kiraikan adunan.
Biar garing, angkat dan lipat segera.

Kuahnya.. macam biasa , kuah kari ayam/daging.

** tambahan

Ini pula resipi dari egroups resipi.net by Jeni Mokhtar:

Bahan-bahan
2 cawan tepung
3 cawan air
1 cawan susu segar/santan
1 sdt serbuk kunyit
1 sdb minyak
1 1/2 sdt garam

Cara

1. Blend kesemuanya.

Bolah cuba.

Sunday, January 11, 2009

cucur badak a.k.a cok badak



Bahan kulit cucur badak

300gram keledek (2 ketul)
Secawan tepung gandum

Bahan inti1/2 biji kelapa parut
3 batang serai
5 biji cili padi (atau 3-4 chili kering)
1 inci kunyit hidup
segenggam udang kering
1/2 biji bawang besar
sebiji bawang merah
2 sudu gula pasir
Garam secukup rasa (sesudu teh)
Minyak untuk menumis dan menggoreng cucur

Cara membuatnya:1-Rebus ubi keledek hingga empuk (merekah). Toskan, biar sejuk sedikit dan lenyek. (jangan biar terlalu sejuk kerana keledek akan jadi keras).
2.Tambah tepung gandum sedikit demi sedikit dalam keledek dan gaul menjadi doh yg boleh dikepal dan dibulatkan.
3-Ambil sejemput doh dan bulat2kan .Buatkan lubang ditengah dengan menekan ibujari ditengah doh dan picit2kan ke arah tepi supaya inti dapat dimasukkan dalam doh.
4-Masukkan inti sesudu dan tutup semula doh tadi (picitkan bahagian tepi ke tengah) dan bulatkan semula dengan mengolekkan cucur atas dua tapak tangan. Tekan sedikit agar doh yg berisi inti menjadi leper. Lihat gambar.

5-Panaskan kira2 secawan minyak masak. Gunakan api sederhana. Goreng cucur badak. Pastikan cucur sentiasa di balik-balikkan agar tak hangus (balikan setiap seminit).Bila sudah perang , angkat dan sejukkan.


Cara masak inti.
Sementara ubi masak kita boleh sediakan inti.
i-Rendam udang kering dgn air panas supaya agak lembut.
ii-Hiris serai, bawang besar,bawang putih, kunyit dan cili.Masukkan dalam pengisar dan tambah 1/2 cawan air. Kisar kesemuanya hingga halus .
iii-Panaskan satu senduk minyak masak. Tuangkan bahan kisar dan biarkan mereneh hingga agak pekat.Masukkan gula dan garam.

iv-Masukkan kelapa parut dan gaulkan.Sentiasa gaul dan balikkan bahan-bahan dalam kuali sehingga inti menjadi agak kering dan peroi.Angkat dan sejukkan.

Monday, September 15, 2008

Kuih lapis

  Bahan bahan
(untuk bekas bersaiz 3"x6"x2")
2 pot beras tepung beras (cap 5 gajah)
1 pot beras tepung gandum (cap sauh)
2 pot gula pasir (dimasak dengan 3 pot air, sejukkan)
2 pot santan pekat dr 1/2 biji kelapa(dimasak dan disejukkan/suam)
3 sudu tepung kanji/tepung ubi
secubit garam.
1/2 sudu teh pewarna merah.

 Cara membuatnya-
1-Sediakan pengukus dan panaskan air dalam pengukus.
2-Campurkan semua bahan dalam satu bekas, kacau rat dan tapis.
3-Bahagi adunan kepada dua bahagian warnakan satu bahagian dengan pewarna merah
4-bila air pengukus sudah menggelegak, letakkan bekas plastik berukuran 3x6x2 atau loyang berukuran 6x6x2. Tuangkan satu senduk adunan warna putih dan kukus 3 minit. Pastikan air kukusan mencukupi supaya tidak perlu ditokok tambah.

 5-Buka penutup kukusan, masukkan satu senduk adunan merah. Tutup dan kukus lagi selama 3-4 minit. Ulang sehingga habis adunan . Pastikan adunan bahagian atas berwarna merah. Untuk adunan terakhir kukus selama 10 minit dan angkat.

6-sejukkan kueh dengan meletakkannya dalam bekas air(besen) atau biarkan sahaj dalam suhu bilik sehingga sejuk. Keluarkan kuih dari bekas plasting dan telangkupkan dalam piring. Potong2kan setebal 1.2 inci atau lebih mengikut kesukaan tuan/puan.

 7-Atur dalam pinggan dan sedialah untuk dihidang dan disantap.
Selamat mencuba.

Nota: Anda boleh gunakan penyukat lain seperti cawan atau gelas. Cuma gunakan nisbah yang sama dan penyukat yg sama untuk tepung gula, air dan santan.1 pot tepung = 100 gram, 1 pot santan/air=175ml.Boleh gunakan bekas plastik yang lebih kecil untuk mudahkan penyimpanan.
Posted by Picasa

Sunday, September 7, 2008

Kueh seri muka


Kenapa kueh ni dinamakan kueh seri muka? Kueh Cik seri ok juga kut. tang mana depa kaitkan muka berseri tu pun tak tau lah. yang pasti kueh ni sedap kalau pandai buat lapisan atas. Lapisan pulut tu biasa sahaja rasanya , cuma kalau terlebih masak jadi lembik.Bila lembik nak potong dan susun susyah la.. dia tumbang :)



Bahan lapisan pulut (bawah):- •
500gm beras pulut (bersihkan dan rendam >6 jam)
• 400ml santan cair
• 1 st garam
• 2 sm minyak
•
Bahan lapisan tepung (atas):- • 120gm tepung gandum
• 3 gm tepung jagung
• 140gm gula
• 3 biji telur
• 450ml santan (1/2 biji kelapa memadai)
• 1/2 st garam
• 300ml air + 10 helai daun pandan dikisar utk dijadikan air pandan (bagi yg tak mudah nak dptkan daun pandan..boleh digantikan dgn esen pandan)

Cara memasaknya:

Untuk lapisan bawah:-
1. Sediakan kukusan terlebih dahulu. Biarkan air mendidih.
2. Toskan beras pulut.Masukkan dalam loyang dan masukkan santan,garam dan minyak.Kacau sedikit agar minyak dapat diratakan.
3. Kukus diatas kukusan yg telah sedia mendidih selama 10-15min.
4. Keluarkan loyang dari kukusan. Kaup dan balik untuk pastikan santan rata dan kukus semula 10 minit lagi.Keluarkan loyang dan ratakan permukaan pulut tadi dengan menekan dgn daun pisang/senduk plastik. Siap untuk dilapis dgn lapisan atas.

Untuk lapisan atas:-
(sediakan semasa pulut dikukus)
1) Pukul gula bersama telur hingga kembang.
2) Masokkan santan yg telah dilarutkan bersama garam. Diikuti dgn air pandan dan dipukul/dikacau lagi..
3) Akhir sekali ayakkan tepung gandum & tepung jagung ke dlm adunan tadi. Dipukul/dikacau lagi agar tidak berbiji. Tapis adunan ini.
4)Letakkan loyang yg berisi pulut tadi tu .ke dlm kukusan dan dgn perlahan tuangkan lapisan atas. Kukus selama 30 min-45 minit sehingga bahagian atas berkilat. Gunakan lidi untuk mencucuk lapisan atas bagi memastikan ianya masak (tak ada tepung melekat pada lidi. Angkat dan sejukkan sebelum dipotong dgn pisau plastik yg telah di sapu sedikit minyak.

Tips: supaya bahagian atas tidak berkedut dan berair ,selalu lah angkat tutup pengukus dan lap supaya air kukusan tak jatuh kedalam loyang.Atau gunakan kain muslin (kain lampin bersih) untuk menutup pengukus .Pastikan kain berada antara loyang dgn penutup pengukus. Atau pun kain muslin tu di bungkus/ikat pada penutup pengukus.

Wednesday, August 27, 2008

Lepat pisang


Bahan-bahan:
sesisir pisang awak masak ranum(kira-kira 15 biji)
2 cawan tepung gandum
1/2 biji kelapa parut (yg putih sahaja)
1/2 sudu teh garam
2 pelepah daun pisang dilayur atas api dan dipotong kira2 5 inci lebar.

Cara buat:
1-Buang kulit/kupas pisang. Hiris nipis,tuang sedikit air (1/2 cawan) dan blend. Boleh juga guna pengadun kek atau gunakan senduk pelecek.
2- Campurkan adunan pisang dengan tepung.Gaul rata supaya adunan sebati.
3- Gaulkan kepala parut dgn garam.
4- Kaut sesudu adunan pisang dan leperkan atas daun pisang seperti gambar dibawah. Taburkan setengah sudu kelapa parut.Gulungkan lepat dgn daun pisang dan kemaskan/lipat bahagian tepi daun.

5- Ulang proses (4) sehingga adunan habis digulung.
6-Masukkan air dalam pengukus (kira2 1.5 liter) dan panaskan pengukus (150 darjah celcius) sehingga air mendidih.
7-Aturkan lepat yang telah dibungkus dalam pengukus dan kukus selama 20 minit.
8-Angkat dan sejukkan. Sedia untuk dimakan.

emm sedapnya sehingga menjilat daun pisang ..:)

Wednesday, March 5, 2008

badak berendam kukus



Maaf, resipi belum pi cari lagi. Tak tahu nak buat macam mana ni. Kalau ada yg berpengalaman bolehlah hantar resepi untuk saya cuba. Hantar resipi anda ke laabwa@gmail.com

Wednesday, October 19, 2005

Kueh sagu merah


Kueh Sagu


Bahan-bahan.(untuk 4 org)

1 pot beras sagu biji (putih)
2 1/2 pot beras air
1/2 cawan gula (atau lebih sikit)
pewarna merah
Kelapa parut 1/4 biji (yang putih sahaja)
sedikit garam untuk digaul dengan kelapa.

Cara2.
1- Basuh sagu dan toskan. Sagu ni lembut jadi nak basuh tak payak
kosek2, masukkan air 2x dan toskan.
2- Panaskan air dan masukkan gula serta pewarna.Masak hingga gula
hancur.(jangan sampai air susut sangat)
3-Masukkan sagu. Kacau sampai likat dan berkilat (kira-kira 15-20
minit).
4-Masukkan dalam loyang kecil dan sejukkan (mula2 sejukkan dengan
meletakkan loyang dalam talam berisi air, bila dah sejuk sikit
masukkan dalam peti sejuk. Biasanya buat waktu tengahari untuk makan
petang).
5-untuk hidangan, potong atau kaut dengan sudu dan golekkan pada
kelapa parut yang sudah ditambah garam.

Untuk hidangan yang lebih banyak tambahkan bahan ikut nisbah satu
bahagian sagu: 2 1/2 bahagian air. Gunakan alat sukatan yang sama.
Kalau guna cawan untuk sagu, guna cawan yang sama untuk sukat
air.Senang kalau guna pot beras. Kueh ni sangat mudah , murah dan
sedap juga.Selamat mencuba.